TIPS MOTIVASI
ARJ Training and Consultant
Tegas
Ketegasan dalam segala tindakan ibu bapa akan dapat mendisplinkan anak dengan lebih cemerlang. Ketegasan yang positif akan menyebabkan anak-anak lebih menghormati kedua-dua orang tuanya dan memahami kehendak ibu bapanya.
Berakhlak mulia
Ibu bapa yang cemerlang mestilah mempunyai akhlak yang mulia untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Sebagaimana hadis Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : “Paling sempurna seorang mukmin imannya adalah yang paling luhur akhlaknya.” (Hadith Riwayat Tirmidzi). Pepatah Melayu juga pernah menyebut : “Bapa borek anak rintik“. Kita tidak mahu menjadi seperti “Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul“.
Mengambil berat terhadap keluarga
Suka sifat mengambil berat terhadap keluarga akan menyebabkan anak-anak rasa disayangi dan diambil perhatian. Sifat ini dengan secara tidak langsung akan menanamkan rasa kasih sayang di jiwa anak-anak.
Komitmen yang tinggi
Apabila pasangan suami isteri bersedia untuk mempunyai keluarga, sudah tentulah komitmen yang tinggi diperlukan untuk menjamin keharmonian rumah tangga. Sekiranya pasangan suami isteri hanya menganggap bahawa berkeluarga hanyalah kitaran hidup yang biasa bagi seorang manusia, maka janganlah hairan kalau rumah tangga tersebut hanya berada di tahap yang sederhana sahaja.
Berketrampilan dalam pelbagai bidang
Ibu bapa yang cemerlang harus mempunyai pengetahuan yang agak luas dalam pelbagai bidang. Ini akan dapat mengukuhkan kefahaman mereka dalam mendidik anak-anak mengenai bidang-bidang yang berkenaan.
Yakin terhadap diri sendiri
Keyakinan yang tinggi menjadi pemimpin dalam rumah tangga adalah tunggak kepada kekuatan seseorang suami dan keyakinan yang jitu dalam mendidik anak-anak adalah tunggak kepada isteri yang solehah. Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, kedua-dua ibu bapa tidak dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan. Ingat “bagaimana acuan, begitulah kuihnya“.
Konsisten dalam melakukan sesuatu
Sesuatu amalan yang dilakukan secara konsisten oleh kedua-dua ibu bapa seperti sembahyang jemaah, melakukan aktiviti-aktiviti yang mulia, memberi arahan dan mengenakan hukuman akan dapat menanamkan rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap kedua-dua orang tuanya.
Pemikiran yang kreatif dan positif
Ibu bapa yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan positif akan dapat mewujudkan suasana yang ceria dalam rumah tangga. Kreatif dalam mengemas rumah, memilih makanan, beriadah dan sebagainya akan dapat mengubah selera dan suasana dalam rumah tangga.
Boleh diharap
Ibu bapa adalah tempat bergantung oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa bersedia untuk melayani dan melindungi ahli-ahli keluarga apabila diperlukan.
Sentiasa bertenaga
Anak-anak memerlukan kemanjaan, kasih sayang dan perhatian pada bila-bila masa. Oleh yang demikian ibu bapa harus sentiasa mempunyai tenaga yang banyak untuk melayani kerenah anak-anak. Pastikan kesihatan diri sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Sentiasa bersemangat
Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu untuk menjalankan aktiviti harian. Mereka harus sentiasa bersemangat untuk mewujudkan suasana rumah tangga yang bahagia. Semangat ini hanya datang dari komitmen yang tinggi dan pemikiran yang positif.
Mudah mesra dan penyayang
Senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu bapa menjadi penawar kepada segala penyakit dalam rumah tangga.
Pandai mendengar dengan berkesan
Ibu bapa yang boleh mendengar dengan berkesan rintihan anak-anak akan dapat menyelesaikan segala masalah anak-anak. Mendengar merupakan satu kemahiran yang harus dipelajari untuk memahami dan mendidik dengan lebih berkesan.
Sentiasa bekerja kuat dan smart
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan akan membuahkan hasil yang lumayan. Pekerjaan seumpama ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak.
Kejujuran dan keikhlasan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduk. Kejujuran dan keikhlasan dalam menghukum anak misalnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan perasaan marah dan benci.
Merendah diri
Sifat merendah diri ini bukanlah bermaksud sehingga anak-anak boleh memijak kepala kita. Sekiranya ibu bapa merendah diri terhadap kedua-dua ibu bapanya, maka sudah tentulah anak akan mengikuti jejak langkah tersebut.
Sentiasa menjaga harga diri / maruah
Ibu bapa yang sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga akan meningkatkan lagi maruah keseluruhan keluarga tersebut. Dengan ini keluarga tersebut akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Bijaksana
Ibu bapa seharusnya mempunyai kebijaksanaan yang melebihi anak-anak. Ini sudah tentunya melalui pengalaman dan pembacaan yang luas. Pergaulan yang luas juga menjadikan ibu bapa lebih berpengetahuan.
Pengasih dan penyayang
Anak-anak memerlukan ibu bapa yang pengasih dan penyayang. Semua anak tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Oleh itu setiap kelahiran anak patutlah dibajai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Bermotivasi tinggi
Ibu bapa harus sentiasa memupuk semangat motivasi yang tinggi dalam diri masing-masing. Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Motivasi hendaklah dipupuk dan dibaja setiap masa dan ketika
Optimistik
Persediaan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang sebelum berkahwin lagi akan menjadikan seseorang itu bersifat optimistik terhadap membina rumah tangga yang diidamkan.
Mempunyai perancangan yang rapi
Merancang kehidupan harian adalah satu langkah yang paling baik untuk kesejahteraan semua ahli keluarga. Perancangan yang teratur akan melicinkan perjalanan harian keluarga dan dapat memastikan semua ahli dalam keadaan selesa.
Gigih
Kesejahteraan sesebuah keluarga tidak dapat dibentuk dalam sekelip mata sahaja. Ia memerlukan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Mereka yang berasa kecewa akan gagal. Jadikan kegagalan sebagai kawan yang paling karib untuk mencapai kejayaan.
Sikap mental yang positif dan kreatif
Bagi mengelakkan kebosanan dalam rumah tangga, ibu bapa hendaklah sentiasa mempunyai sikap mental yang positif dan kreatif dalam menangani segala masalah dalam rumah tangga.
Kepantasan bertindak
Membuat keputusan yang adil dan bertindak cepat akan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Imej diri yang cemerlang
Imej diri yang cemerlang akan menambahkan keyakinan dalam diri ibu bapa. Imej diri bukan sahaja dilihat dari perspektif luaran malah ia juga harus dilihat dari perspektif dalaman.
Mempunyai kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa yang mempunyai kemahiran komunikasi akan disukai oleh semua ahli keluarga. Teknik menegur ahli keluarga yang berhemah akan menjadikan mereka orang yang disanjungi dan dihormati.
Pandai bergurau
Bergurau senda dalam rumah tangga akan menceriakan persekitaran sesebuah keluarga.
Berdoa dan mendoakan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa berdoa untuk kecemerlangan diri dan ahli keluarga yang lainnya.
Selamat Mencuba!
No comments:
Post a Comment